Program Modul Tunas dengan kerjasama IMREC, UTM dan JPN


Alhamdulillah, sekolah kita telah tersenarai untuk menjalani Program Modul Tunas atau Mind Changing Programme (MICEP) pada 12 hingga 14 April (Fasa 1) dan 19 hingga 21 April 2012 (Fasa 2). Program ini adalah usahasama antara Iskandar Malaysia Research Centre (IMREC), UTM, dan JPN. 
    Pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih ke atas keprihatinan Iskandar Malaysia. Wakil dari UTM seramai dua orang turut hadir sebagai fasilitator iaitu En.Dzulkiflee bin Mohd Hassan dan Cik Noorsidah binti Abu Bakar. Gurata dan gurati dari IMREC yang menjalankan program ini ialah En. Abdul Aziz bin Tamhid dan Cik Fatimah binti Mohamad. Guru pembimbing dari pihak sekolah pula ialah En. Mohd Hasif bin A. Samat dan Pn. Sairee binti Sainel. Guru yang terlibat telah terlebih dahulu mengikuti Modul Train of Trainers (TOT) pada 5 hingga 8 Disember 2011 di Danga Bay. 
    Seramai 21 peserta dari Tahun 5 telah terpilih. Program Modul Tunas ini merupakan satu modul yang memberikan pendedahan mengenai Sains Keseimbangan iaitu antara IQ dan EQ demi membentuk keperibadian peserta. Program yang telah dijalankan di Bilik PPSMI, SKTIE ini padat dengan penyusunan aktiviti pembelajaran Sains Keseimbangan yang diharap dapat membantu peserta untuk mencetuskan corak pemikiran berkualiti. Selain membantu peserta menjadi lebih fokus dalam menjalani rutin kehidupan seharian sebagai pelajar. Contohnya, seorang pelajar akan menjadi lebih bertanggungjawab, berdisiplin, bertoleransi, dan berfikiran luas. Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ialah Cerakin Mahir iaitu sesi teori, Etika & Interaksi iaitu sesi amali, Singkap Puas iaitu sesi soal jawab, Jelajah Fikir iaitu sesi penulisan dan Menjana Potensi iaitu sesi kajian kes. Konsep program ini antara lain adalah berdasarkan hukum matematik dan perlaksanaan kaedah pencernaan minda sebagai formula pembelajaran. Ia dilaksanakan secara berperingkat iaitu pembelajaran teori dahulu dan kemudian sesi amali diberikan. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dijalankan dengan suasana interaksi ceria dan keputusannya agak memberangsangkan.

No comments:

Post a Comment